11 pelajar maut dalam kebakaran sekolah - Utusan Malaysia

11 pelajar maut dalam kebakaran sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPALA, Uganda – Seramai 11 budak lelaki terkorban dan 20 yang lain melecur teruk dalam kebakaran yang memusnahkan asrama mereka di Uganda semasa mangsa sedang tidur, kata polis hari ini.

Henry Nsubuga yang merupakan guru besar sekolah berkenaan berkata, dia mengesyaki beberapa pelajar yang dibuang dari sekolah berkenaan baru-baru ini bertanggungjawab memulakan kebakaran itu.

Sekolah Menengah St. Bernard itu yang terbakar pada malam kelmarin, terletak di Rakai, selatan Uganda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka yang melakukan perbuatan itu mengunci pintu asrama sebelum membakarnya. Ia menyebabkan petugas penyelamat sukar untuk memindahkan pelajar yang berada di dalam bangunan tersebut. Sebahagian mereka berjaya dikeluarkan tetapi meninggal dunia kerana sesak nafas,” kata Nsubuga.

“Sesetengah mayat pula rentung dan polis mencadangkan ujian asid deoksiribonukliek (DNA) dilakukan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan ibu bapa mereka,” tambahnya.

Ketua polis tempatan, Ben Nuwamanya memberitahu agensi berita AFP bahawa 11 pelajar disahkan terbunuh.

“Kira-kira 20 pelajar lain dimasukkan ke hospital kerana melecur teruk dan berada dalam keadaan kritikal,” ujarnya.

Nuwamanya menambah, punca kebakaran itu masih belum disahkan, manakala tiga orang termasuk seorang pengawal keselamatan sekolah telah ditangkap untuk disoal siasat.

Daerah Rakai terletak berdekatan sempadan Tanzania,  kira-kira 280 kilometer ke selatan ibu kota Uganda, Kampala. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×