Apabila ayah dan emak terima ijazah - Utusan Malaysia

Apabila ayah dan emak terima ijazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 12 Nov. – Mat Sidik Salleh, 63, menggagahkan diri bersama isterinya Aminah Abu Bakar, 48, berjalan menaiki pentas, dan terlalu sukar menyembunyi perasaan berbaur yang menyelubungi, apatah lagi ketika seluruh perhatian umum tertumpu kepada mereka.

Mereka menyeka air mata sebaik sahaja menerima skrol ijazah dalam majlis yang sepatutnya mereka cuma hadir bersama keluarga berkongsi kegembiraan meraikan detik bersejarah dalam kehidupan Nurul Fazierah,24, anak kedua daripada empat beradik itu.

Nurul Fazierah meninggal dunia pada 24 Januari lalu akibat menghidap kanser darah selepas disahkan diserang penyakit itu pada penghujung tahun 2016. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Mat Sidik, buruh kampung itu bersama isterinya serta ditemani dua lagi anak mereka hadir bagi mewakili Nurul Fazierah, pelajar jurusan Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) menerima Ijazah Anumerta yang disampaikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Samsudin Osman dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-16, di sini hari ini.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu turut diberikan tepukan gemuruh oleh para graduan dan jemputan ketika menaiki pentas selepas seluruh dewan menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami ketika nama Nurul Fazierah diumumkan untuk menerima ijazah. 

“Cepat sangat rasa masa berlalu. Nurul Fazierah tidak sempat memulakan latihan industri dan naik ke atas pentas ini untuk mengambil ijazahnya,” katanya selepas majlis itu.

Tambah Aminah lagi, selepas menamatkan pengajian hujung tahun lalu, Allahyarham sememangnya begitu teruja menunggu hari untuk menghadiri majlis konvokesyen ini. 

“Hajat Nurul Fazierah untuk menyarung jubah graduasinya dan mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah tak sampai. 

“Dia anak yang baik dan tidak banyak bercakap. Semangatnya juga kuat kerana dia mampu tamatkan pengajian walaupun sering keluar masuk hospital,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×