IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap seorang pereka grafik yang telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu membabitkan pemimpin negara melalui akaun Facebook miliknya dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Mohd. Radzi Harun membuat keputusan itu terhadap, Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jelasnya, mahkamah mengekalkan sabitan tersebut selepas mendapati keputusan oleh hakim Mahkamah Sesyen Ipoh tepat selepas meneliti keterangan yang dikemukakan oleh pihak peguam tertuduh dan timbalan pendakwa raya.
“Selain itu, saya telah membuat pemerhatian terhadap kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang menarik balik pertuduhan terhadap kes tertuduh pada 11 Oktober lalu.
“Jadi, mahkamah membenarkan rayuan dan memerintahkan hukuman penjara selama setahun dan denda RM30,000 dibatalkan dan digantikan dengan hukuman denda sebanyak RM10,000,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Facebook Fahmi Reza secara sedar memulakan penghantaran komen palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di di Seraya Sdn. Bhd., Batu 3, Jalan Jelapang dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari dan dibaca pada pukul 2.40 petang pada 8 Februari 2016.
Pendakwaan dikendali Ketua Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd. Sophian Zakaria.
Mohd. Radzi turut menasihatkan tertuduh agar menjaga adat dan tatasusila dalam karya-karya kreatifnya.
Ujarnya, Mohd. Fahmi Reza mempunyai pengikut yang ramai yang ramai di media sosial menjadikan tertuduh perlu mempunyai rasa tanggungjawab tinggi bagi memastikan karyanya dapat memberi kesan positif.
“Secara peribadi saya menggalakkan awak terus berkarya dan bakat yang ada perlu digunakan sebaiknya untuk tujuan murni.
“Manfaatkan karya kreatif anda untuk membantu golongan kurang berupaya dan anak yatim tanpa mengira bangsa dan agama. Ia akan membawa kepuasan kepada awak dan beri manfaat kepada negara,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Fahmi Reza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen pada 20 Februari lalu.
Hakim Norashima Khalid turut memerintahkan Mohd. Fahmi Reza dihukum penjara selama enam bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut. – K! ONLINE











