KUCHING 12 Nov. – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini melancarkan inisiatif Amal Ihtimam Pendidikan – Jom Ke Sekolah bagi manfaat 600 pelajar asnaf, di sini sebentar tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya (Pemangku), Mohd. Muazzam Mohamed, inisiatif tersebut merupakan aktiviti tanggungjawab korporat Bank Islam yang diadakan di lima lokasi seluruh negara.
Katanya, hampir RM230,000 diperuntukkan yang bertujuan memberi kelengkapan sekolah baharu kepada pelajar kurang berkemampuan pada sesi persekolahan tahun hadapan.

“Inisiatif ini merupakan satu wadah bagi Bank Islam untuk berkongsi rezeki dan kemakmuran di kawasan kami beroperasi.
“Para pelajar akan menerima set lengkap yang terdiri daripada dua pakaian seragam sekolah untuk lelaki dan perempuan, dua baju sukan, beg, dua
pasang kasut dan stokin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Amal Ihtimam Pendidikan- Jom ke Sekolah, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani, Ketua Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Padawan, Zura Hamden Hamid dan Ketua Pejabat Bank Islam Wilayah Timur, Abdul Malek Abdullah.
Pada majlis itu, seramai 200 pelajar asnaf dari 10 sekolah di Kuching menerima bantuan berkenaan.

Terdahulu, Bank Islam telah menyampaikan zakat perniagaan untuk 2017 kepada Tabung Baitulmal Sarawak berjumlah RM435,668.24 yang diserahkan Zamani kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Tambah Mohd. Muazzam, pihaknya juga menyumbang RM50 setiap pelajar sebagai bantuan bayaran yuran persekolahan mereka nanti. – UTUSAN ONLINE











