KUALA LUMPUR 12 Nov. – Usaha mencari dan menyelamat remaja lelaki yang dilaporkan sesat selepas terpisah dalam kumpulan ketika mendaki di hutan berhampiran Air Terjun Sungai Lepoh dekat sini, semalam diteruskan hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd. Rizal Buang berkata, mangsa, Amirul Rashid Mohd. Aminadahallah, 16, yang terpisah daripada kumpulan seramai 40 guru dan rakannya kira-kira pukul 4 petang semalam masih belum ditemukan sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (Storm) diketuai Penguasa Kanan Bomba, Alimaddia Bukri bersama sembilan anggota lain telah ke lokasi bagi mencari mangsa.
“Selain itu, mereka turut dibantu masing-masing seorang anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), orang awam (empat), Pasukan Bomba Sukarela Langat (dua) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (tiga),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











