Perkongsian peribadi Afgan - Utusan Malaysia

Perkongsian peribadi Afgan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedekad dalam industri muzik dan sebagai tanda penghargaan, Afgansyah Reza atau Afgan meraikan peminat yang selama ini menyokong karyanya dengan persembahan penuh tenaga pada Konsert Afgan Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 pada 3 November lalu.

Meskipun hampir setiap tahun muncul di pentas di Malaysia, sambutan yang diterima bagi setiap konsert tidak pernah mengecewakan. Ternyata, peminat jejaka berusia 29 tahun ini begitu setia dan sangat memberi sokongan.

Buktinya, tiket habis dijual dan lokasi konsert iaitu Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dipenuhi dengan penonton yang bukan sahaja peminat tempatan malah dari Singapura, Indonesia dan Brunei.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seperti konsertnya sebelum ini, persembahan Afgan pada malam itu juga sama sekali tidak mengecewakan peminat setianya. Dengan susunan 21 buah lagu popular serta lontaran vokal bertenaga, Afgan mencipta magis, memukau lebih 2,000 penonton.

Barisan lagu hits seperti Katakan Tidak, Rollercoaster, Jodoh Pasti Bertemu, Knock Me Out, Bukan Cinta Biasa, Entah dan Terima Kasih Cinta berjaya memaku penonton untuk terus berada di dalam dewan dan turut sama menyanyi serta menari.

Menariknya, usai penyampaikan lagu pembukaan iaitu Jalan Terus, Afgan memulakan bicara dengan berkongsi beberapa perihal peribadi dan pahit manis sepanjang 10 tahun meniti jalan sebagai anak seni.

“Konsert malam ini sangat peribadi untuk saya. Ini bukan sahaja bagi meraikan survival saya dalam industri malah sebagai hadiah tanda penghargaan kepada kalian yang tidak pernah berhenti menyokong karya saya sejak awal.

“Siapa sangka, saya yang dahulu seorang lelaki pemalu kini mampu berdiri di pentas besar di hadapan ribuan penonton. Saya tahu, pasti ramai yang tidak percaya saya juga pernah mengalami depresi sejak alam remaja sehingga bergelar penyanyi.

“Saya pernah terfikir untuk berhenti menyanyi disebabkan masalah tersebut. Namun saya cekalkan hati dan beranikan diri untuk keluar daripada masalah yang membelenggu.

“Syukur, segala-galanya berjalan dalam keadaan baik,” jelasnya.

Ingatan istimewa

Dalam kegembiraan meraikan ulang tahun penuh makna, anak kelahiran Jakarta ini tidak sesekali lupa untuk memberikan dedikasi khas buat mangsa dan waris tsunami di Palu, Pulau Sulawesi dan nahas pesawat JT610 Lion Air yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.

Suasana dewan berubah sepi dan Afgan terus mendendangkan lagu Ku Mohon nyanyian asal idolanya, Datuk Sheila Majid sebagai tanda ingatan tulus ikhlas.

Kemudian persembahannya diteruskan dengan menyampaikan lagu duet pertamanya dengan Sheila iaitu Bawalah Cintaku.

Sebelum itu, Afgan meluahkan rasa sedih kerana tidak berpeluang membawa penyanyi pujaannya itu untuk bersama-samanya di pentas itu.

“Kak Sheila sudah saya anggap seperti kakak sendiri. Jadi, saya agak sedih kerana tidak dapat berduet dengan beliau pada malam ini. Beliau tidak dapat hadir kerana menghadiri program lain di Indonesia yang sudah lama dirancang,” jelasnya.

Sebelum menutup acara, suasana dewan bertambah hangat dengan segmen artis jemputan iaitu Ruffedge. Mereka berduet menerusi lagu I’ll Make Love To You dan menerima sorakan dan tepukan gemuruh audiens.

Selepas itu, Ruffedge diberi peluang beraksi dan lagu Bila Rindu menjadi pilihan mereka. Sebelum menutup konsert, Afgan tampil dari pintu masuk penonton dan mengambil peluang bersalaman dengan ibu bapanya.

Rumah kedua

Memilih Malaysia sebagai lokasi pertama untuk konsert besar ini, Afgan mempunyai alasan yang kukuh. Berada di pentas di hadapan peminatnya dari serata nusantara, Afgan tidak melepaskan peluang untuk menjelaskan situasi sebenar.

“Ramai yang bertanya kenapa saya memilih Malaysia sebagai lokasi pertama untuk konsert penghargaan seperti ini. Jawapannya tidak sukar, Malaysia adalah rumah kedua saya, jadi tiada salahnya.

“Awalnya, kami sudah merancang untuk memulakan konsert jelajah ini pada Februari lalu di Jakarta. Namun tiada rezeki untuk dilaksanakan kerana ketika itu Jakarta sibuk dengan persiapan Sukan Asia ke-18.

“Justeru, saya fikir tidak mengapa untuk saya mulakan di sini dahulu,” ucap Afgan yang turut menerima kunjungan ibu bapa, ahli keluarga serta rakan-rakan artis dari Indonesia dan Malaysia.

Tidak hanya menyingkap kisah karier seni, Afgan dilihat cukup sporting berkongsi kisah cinta lamanya.

Sebelum mempersembah lagu Jodoh Pasti Bertemu, Afgan membuka cerita cintanya yang tidak kesampaian.

“Saya pernah jatuh cinta dengan seorang gadis ketika masih di bangku sekolah menengah.

“Namun cinta saya hanya bertepuk sebelah tangan. Kini dia sudah berkahwin dan memiliki anak.

“Tetapi tidak mengapa, jodoh pasti bertemu bukan? Mungkin jodoh saya di sini, di Malaysia?,” ujarnya dan terus disambut dengan sorakan peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×