MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata persiapan Manchester City untuk kemenangan dalam perlawanan ‘Derby’ mereka dibantu dengan jadual berdepan lawan mudah beberapa minggu lalu.
Ini berikutan kemenangan besar ‘The Citizens’ di Stadium Etihad ketika membelasah Southampton dan Shakhtar Donetsk yang menyaksikan mereka berjaya menjaringkan sebanyak 12 gol.
Bagi kem United pula, ini adalah perlawanan ketiga mereka bermain di tempat lawan secara berturut-turut.
“Ini satu tugas yang berat buat pasukan yang terpaksa mengharungi tiga perlawanan di tempatlawan dalam masa satu minggu, dan kami berdepan dengan lawan yang hebat,” kata Mourinho.
“Keletihan mental dan fizikal membawa kepada kesilapan pemain. Anda perlu berada dalam sukan bola sepak atau sukan yang mempunya peringkat lebih tinggi untuk mengetahui apa itu keletihan mental dan fizikal”.
David Silva dan Sergio Aguero meletakkan City di depan 2-0, sebelum Martial mengurang defisit jaringan dalam babak kedua dan Ilkay Gundogan memastikan kemenangan buat The Citizens pada penghujung permainan.
Kemenangan ini membenarkan City kembali mendahului carta liga, selepas Liverpool memintas mereka seketika selepas menewaskan Fulham 2-0. – K! ONLINE











