JOHOR BAHRU 12 Nov. – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menikam isterinya dalam satu kejadian di sebuah pasar raya berhampiran Persiaran Dahlia 2, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, wanita berusia 21 tahun cedera ditikam di bahagian leher, bahu dan dada menggunakan pisau pemotong sayur.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Norazam Shaari berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suaminya dalam proses penceraian.
“Kejadian itu berlaku dalam pasar raya berkenaan dan kita masih dalam siasatan lanjut selain bagi mengesan suspek yang berusia 24 tahun itu,” katanya.
Norazam berkata, mangsa mendapat rawatan di Unit Kecemasan Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











