KUALA LUMPUR 12 Nov. – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menghormati proses pemilihan PKR.
Peringatan itu berikutan tindakan Mohamed Azmin mengumumkan telah menewaskan Rafizi Ramli dan memenangi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.
Meskipun Anwar yang memenangi jawatan Presiden parti tanpa bertanding memberitahu Mohamed Azmin mempunyai hak untuk ‘mengumumkannya’ tetapi perlu menghormati Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
“Dia ada hak untuk sebut. Tetapi dia pun tahu yang umumkan itu ialah JPP. Dan kita patut hormat proses,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Mohamed Azmin telah mengumumkan kemenangannya dalam pemilihan parti kali ini walaupun perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR itu menentang Rafizi Ramli masih belum jelas dan penuh kekalutan.
Dalam suatu kenyataan yang ditandatangani beliau sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021, Azmin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana meneruskan “agenda sebenar reformasi.”
Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota KEADILAN yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen.
— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) November 11, 2018
Beliau turut membuat pengumuman yang sama di dalam akaun Twitter peribadinya. – UTUSAN ONLINE











