Rasa dulu keperitan kami – Rita - Utusan Malaysia

Rasa dulu keperitan kami – Rita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK sebak dengan suara tersekat-sekat ERNI DEKRITAWATI YULIANA BUHARI ketika bercakap dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di kediamannya di Taman Harmonis, Gombak semalam.

Menerusi pertemuan setengah jam dengan anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh secara sadis lapan tahun lalu itu, dia yang lebih mesra dengan panggilan Rita Sosilawati meluahkan kenapa adik beradiknya menolak habis-habisan cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu Jumaat lepas, Rita membuat sidang akhbar ringkas bersama keluarga-keluarga kepada dua lagi mangsa bunuh atas sebab sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sosilawati, 47 (umur semasa kejadian), jutawan kosmetik terkenal bersama tiga pembantunya, pegawai bank Noohisham Mohamed, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dilaporkan hilang selepas mereka pergi ke sebuah ladang di Banting untuk tujuan urusan jual beli tanah pada 2010.

Sosilawati dipercayai meminta peguam terbabit mempercepatkan bayaran bagi dua cek yang tarikhnya ditunda bernilai RM4 juta yang merupakan hasil penjualan tanah ikon berkenaan yang dikendalikan firma guaman lelaki itu.

Sebaliknya, mereka mati dalam keadaan mengerikan di tangan empat orang yang `tidak ada hati perut’ dengan kesemua mayat mangsa dibakar menggunakan kayu api.

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka yang terlibat. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 16 Mac 2017 mengekalkan hukuman mati terhadap tiga orang tetapi membebaskan seorang lagi kerana kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan berkenaan.

Rita amat berharap luahan hatinya yang dikongsi kepada akhbar ini didengari oleh pihak kerajaan.


“Keadilan yang saya dan keluarga tunggu selama lebih tujuh tahun telah berhasil daripada keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah yang membunuh ibu saya serta tiga yang lain. Tapi kini saya sekali berhadapan dengan perasaan yang bercampur baur dan kecewa atas cadangan kerajaan hari ini yang mahu memansuhkan hukuman mati mandatori.

Ia sangat membimbangkan bahawa peraturan undang-undang kita dengan mudah dihapuskan untuk melindungi penjenayah. Bagaimana dengan public interest? Ia berlaku kepada ibu saya dan ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Para pelaku ini sangat berani untuk membunuh empat orang yang tidak berdaya dengan begitu kejam dan mudah. Ibu saya, pemandunya, peguam dan pegawai bank.

Bagaimana saya harus bersetuju dengan cadangan kerajaan ini. Cuba bayangkan di ketika ibu saya dan tiga mangsa yang lain sedang merayu kepada pembunuh agar dilepaskan atau jangan diapa-apakan. Malah cuba bayangkan ketika dipukul dan diseksa sebelum nyawa berpisah dengan jasad di ketika itulah ibu saya dan mangsa-mangsa yang lain sedang bergelut mengenangkan anak-anak dan keluarga (Rita menangis),

Jika dikenangkan, laporan mengatakan mayat ibu saya dan yang lain telah dibakar dengan api setinggi pokok kelapa. Di manakah ruang perikemanusiaan yang saya cuba berikan? Saya kehilangan seorang ibu manakala yang lain kehilangan bapa, suami dan tempat bergantung. Saya boleh rasakan dan terngiang-ngiang di telinga saya ketika ibu saya berbual-bual sebelum kejadian ngeri yang tidak mungkin kami semua lupakan.

Sesungguhnya elemen perikemanusiaan itu tidak terpakai kepada pembunuh-pembunuh ini kerana ketika melakukan perbuatan terkutuk itu, sifat yang sepatutnya ada pada seorang manusia itu telah hilang. Ia telah berganti dengan sifat ganas dan buas sehinggakan perikemanusiaan itu seolah-olah tidak wujud dalam diri pembunuh.

Bagaimana kita sebagai mangsa ini untuk menerima cadangan daripada kerajaan berkenaan hal pemansuhan hukuman ini? Bukan saya sahaja tidak setuju, malah saya yakin sebahagian besar rakyat Malaysia juga tidak setuju dengan cadangan kerajaan baharu ini.

Alhamdulillah kerana kami ditinggalkan dengan sedikit persediaan. Cuba bayangkan bagaimana dengan nasib keluarga mangsa yang lain. Mungkin bukan sekadar masalah ekonomi yang mereka tanggung tapi trauma yang mereka alami. Apatah lagi tiga mangsa yang lain itu ada ketua keluarga yang menyara keluarga masing-masing.

Bayangkan anak-anak dan keluarga yang ditinggalkan. Keadaan mereka yang sepatutnya kerajaan bela melalui hukuman yang telah dijatuhkan tetapi seperti berlaku sebaliknya.

Pada masa ibu kami meninggal dunia, kami seperti tiada hala tuju dan tempat bergantung. Jadi, siapa yang kasihankan kepada kami pada waktu itu? Dengan hukuman itulah yang menguatkan semangat kami untuk teruskan hidup. Saya mewakili keluarga saya menganggap pemansuhan hukuman itu tidak wajar dilakukan.

Walaupun perit ketiadaan ibu, bagi saya hidup perlu diteruskan. Tanggungjawab perlu saya galas demi menjaga adik-adik seperti diamanahkan.

Kita tidak boleh membiarkan penjenayah seperti ini melakukan penyalahgunaan suara sokongan dan memanipulasi sistem undang-undang jenayah kita. Bolehkah mereka menekan kerajaan atau kerajaan terpaksa melakukan demi kepentingan politik dan sebagainya? Penalti hukuman mati yang ketat tidak boleh dihapuskan. Undang-undang tidak boleh dilucutkan dan dikompromikan.

Kami tidak berasa selamat jika orang seperti itu terus hidup atau dibiarkan keluar dan bebas. Pada pendapat saya sekiranya kerajaan mahu memansuhkan hukuman mati mungkin boleh dilihat daripada sebahagian 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati. Tetapi tidak boleh berkompromi hukuman pada kesalahan membunuh.

Harapan saya sama dengan harapan keluarga-keluarga mangsa yang lain supaya kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati mandatori. Ia bertentangan dengan kepentingan awam dan juga tidak adil kepada mangsa jenayah yang tidak mempunyai suara dan juga keluarga mangsa.

Hak asasi manusia majoriti harus lebih penting dan diutamakan dalam rancangan kerajaan untuk meneliti serta menghapuskan hukuman mati mandatori – RITA.”

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×