BEBERAPA hari lalu saya dikejutkan dengan tajuk sebuah drama Isteri Untuk Disewa susulan bantahan pengguna media sosial dan teguran mufti terhadap tajuk-tajuk novel dan drama tidak beradab semata-mata sebagai gimik dan tarikan.
Saya faham penulis asal kisah ini mengambil idea daripada filem atau kisah hidup di Barat di mana lelaki atau wanita boleh ‘disewa’ untuk berlakon sebagai teman lelaki atau teman wanita khususnya bagi mengelakkan campur tangan keluarga dalam hubungan peribadi ‘si penyewa’.
Namun, untuk adaptasi konsep ‘isteri’ mahupun ‘suami’ dalam jalan cerita serupa sangat tidak munasabah, tidak beradab dan menghina institusi kekeluargaan khususnya bagi umat Islam.
Gelaran isteri atau suami itu adalah sesuatu yang mulia dalam pembinaan institusi kekeluargaan, bukannya setaraf teman lelaki atau teman wanita yang sekadar menjadi tempat melepaskan nafsu.
Tambahan pula bagi isteri yang merangkap ibu dan menantu perempuan dalam sesebuah keluarga. Dalam kebanyakan agama dan tamadun, khususnya bagi orang Melayu Islam, maruah serta kedudukan tiga serangkai seorang wanita sebagai isteri, ibu dan menantu perlu dijaga sepanjang masa.
Memandangkan saya sendiri sudah lama berhenti membaca novel dan menonton drama Melayu, mungkin boleh bersangka baik tajuk tersebut sekadar terkhilaf atau cuai dalam pemilihan perkataan tanpa niat menghina.
Saya nasihatkan kepada penulis novel mahupun penulis skrip drama lain agar menjaga tajuk buku dan cerita yang mahu dipaparkan kepada umum kerana perkara ini juga akan menjejaskan kredibiliti dan maruah anda sebagai seorang individu, orang Melayu dan beragama Islam.
KAKI DVD
Seremban











