Bahaya ubat haram - Utusan Malaysia

Bahaya ubat haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOHON Kementerian Kesihatan pantau pengeluaran ubatan dan suplemen yang kini berleluasa di pasaran termasuk jualan secara dalam talian yang rata-ratanya dilihat tidak mempunyai sijil kelulusan daripada pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan sendiri.

Apa yang membimbangkan, ubat-ubatan terutama jenis kapsul yang tiada pengiktirafan Kementerian Kesihatan ini berkemungkinan mengandungi bahan-bahan terlarang dan boleh memudaratkan penggunanya.

Pelbagai jenis bahan kimia atau racun mungkin dicampurkan bersama untuk memberikan tindak balas segera tetapi selalunya meninggalkan kesan sampingan negatif dalam jangka panjang seperti merosakkan sistem saraf, hati atau buah pinggang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apabila terjadi begitu, kesudahannya sesiapa yang mengamalkan atau mengambil ubatan mahupun suplemen yang tidak diiktiraf itu akan merana dan terpaksa menanggung derita seumur hidup mereka.

Orang ramai diharap jangan terlalu mudah percaya, terpengaruh dan terperdaya dengan jurujual ubat-ubatan yang meragukan itu. Ini kerana ada jurujual yang tidak bertanggungjawab mempromosikan pelbagai jenis ubat atau suplemen yang dikeluarkan secara haram dan tidak diuji tahap keselamatan mahupun keberkesanannya.

Paling malang apabila jurujual memberikan jaminan kononnya ubat dan suplemen mereka terjamin dan tidak perlu mengambil ubat dari hospital lagi kerana kononnya ubat mereka pengganti atau penawar penyakit.

Akhirnya, kerana terlalu percayakan orang tidak bertauliah dan tidak lagi mengambil ubat dari hospital, penyakit lama semakin teruk dan bermacam-macam jenis penyakit baru timbul sehingga boleh membawa maut.

Kementerian Kesihatan hendaklah tegas mengatasi pengeluaran dan penjualan ubat atau suplemen yang meragukan sebegini. Ini termasuk ubat dan suplemen yang diimport dari luar negara, terutama sekali dari negara-negara jiran.

Jangan tunggu sampai ramai yang terkorban baru hendak ambil tindakan. Bertindak tegas dari sekarang dan bukan sekadar memberi amaran keras kepada mereka yang menjual ubat atau suplemen haram.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Ampangan Seremban

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×