SAYA harap para pemimpin Pakatan Harapan (PH) cakna nasihat Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin agar berhenti menyalahkan kerajaan lama dan fokus kepada menunaikan janji mereka kepada rakyat.
Selepas enam bulan memerintah, cukup rasanya kepemimpinan PH menggunakan pemimpin dan kerajaan dahulu sebagai alasan kelemahan pentadbiran kerajaan baharu.
Rakyat mengundi PH untuk membawa perubahan dan cara baharu mentadbir, bukannya menghabiskan masa memberi alasan dan menuding jari selepas gagal menunaikan janji dan menyelesaikan masalah.
Pengundi, kecuali yang totok dan taksub, bukannya bodoh dan percaya bulat-bulat apa sahaja dikatakan ahli dan parti politik. Kami juga bukannya mengharap terlalu banyak, sekadar melihat wakil rakyat ada berusaha menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat.
Cukup-cukuplah berdendam, apa guna api dendam itu jika diri sendiri pun tiada bezanya dengan yang lama? Jika pemimpin PH gagal mendukung tanggungjawab sendiri, mereka juga akan berdepan ‘dendam’ daripada pewaris pentadbiran negara kelak.
Janganlah berangan kita akan sentiasa berada di atas.Ambil iktibar dan gunakan masa yang ada untuk memberi manfaat kepada rakyat, bukan memenuhkan kantung sendiri seperti anda tuduh pemimpin dahulu lakukan.
PENGUNDI MUDA
Sepang











