KUALA LUMPUR 11 Nov. – UMW Toyota Motor (UMWT) menjangkakan Toyota Camry serba baharu berharga RM189,900 sebuah dan tempahan boleh dibuat mulai 1 November lalu.
UMWT dalam kenyataannya berkata, Camry serba baharu hanya akan dikeluarkan dalam satu varian sahaja.
Model itu dibangunkan dengan Kejuruteraan Global Baharu Toyota (TNGA)dengan peningkatan fungsi dan teknologi untuk prestasi pemanduan yang terbaik.
“Sedan eksekutif itu menyediakan dengan pelbagai ciri keselamatan seperti Sistem Pra-pelanggaran, Amaran Pelepasan Lorong (LDA) dan Bantuan Stereng.
“Selain itu, terdapat juga Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Sinaran Tinggi Automatik (AHB),” katanya di sini hari ini.
Camry serba baharu didatangkan dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan.
Model tersebut akan dipamerkan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018 pada 23 November sehingga 2 Disember di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara.
Orang ramai boleh melayari laman web toyota.com.my atau mengunjungi mana-mana bilik pameran Toyota bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai model tersebut.











