JAKARTA 11 Nov. – Isyarat ping perakam suara kokpit (CVR) pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di kawasan perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lalu masih belum dikesan biarpun operasi mencari serta menyelamat (SAR) sudah dihentikan.
Detik News yang memetik Ketua Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (KNKT), Soerjanto Tjahjono melaporkan bahawa operasi pencarian CVR diteruskan bagi melengkapkan siasatan nahas pesawat tersebut.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk mencari CVR dan kami belum menentukan sampai bila operasi ini akan dilakukan.
“Dalam operasi ini, kami menggunakan beberapa alatan termasuk pencari isyarat ping dan kenderaan kawalan jauh dalam air (ROV) yang dilengkap dengan pengesan sonar,” katanya.
Selain itu, Soerjanto menyatakan bahawa isyarat ping CVR tidak dapat dikesan sehingga hari ini kerana mungkin CVR itu terhempas kuat dan rosak, menyebabkan isyaratnya tidak kuat.
Sehingga kini, KNKT masih menganalisis data yang diperoleh daripada perakam data penerbangan (FDR) yang ditemukan sebelum ini.
Beberapa perkara ditemukan dalam siasatan awal sebelum ini termasuk penunjuk aras kelajuan pesawat Lion Air JT610 yang rosak dalam empat penerbangan sebelum nahas.
Namun, pihak berkuasa tidak dapat menyimpulkan sekiranya masalah itu menjadi punca pesawat tersebut terhempas.
Selain itu, pengesan Angle of Attack atau AOA yang berfungsi sebagai pengukur sudut pesawat terhadap aliran udara juga dilaporkan mengalami kerosakan dalam beberapa penerbangan sebelum nahas.











