ANKARA 11 Nov. – Pembunuh Jamal Khashoggi didakwa membuang keratan mayat wartawan Washington Post itu di dalam longkang selepas melupuskannya menggunakan bahan kimia dipercayai asid.
Channel News Asia yang memetik artikel dalam akhbar lidah rasmi kerajaan Turki, Sabah melaporkan bahawa beberapa sampel yang diambil dari longkang di Konsulat Arab Saudi di Istanbul menunjukkan kesan asid.
Penemuan tersebut secara tidak langsung memberi gambaran kepada pasukan penyiasat bahawa keratan mayat Jamal dibuang menerusi longkang seperti cecair.
Jamal dilihat buat kali terakhir memasuki konsulat tersebut pada 2 Oktober lalu bagi mendapatkan dokumen untuk berkahwin dengan tunangnya yang merupakan warga Turki.
Selepas beberapa kali membuat penafian, Arab Saudi akhirnya membuat pengakuan bahawa Jamal yang berusia 59 tahun dibunuh selepas bergaduh dalam konsulat tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menuduh ‘pihak berkuasa tertinggi’ Arab Saudi yang mengarahkan supaya Jamal dibunuh kerana beliau dilihat lantang mengkritik dasar kerajaan Riyadh yang dilakukan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.
Penasihat kepada Recep Tayyip, Yasin Aktay memberi gambaran bahawa keratan mayat Jamal sudah dilupuskan menggunakan asid.
Pasukan penyiasat Turki sebelum ini memaklumkan bahawa Arab Saudi menghantar dua pakar bahan kimia dan toksik ke Istanbul bagi menghapuskan bukti pembunuhan Jamal.
Dua pakar tersebut adalah Ahmad Abdulaziz al-Janobi dan Khaled Yahya al-Zahrani.
Sabah melaporkan bahawa kedua-dua pakar tersebut mengunjungi bangunan konsulat setiap hari selepas tiba di Istanbul pada 11 hingga 17 Oktober lalu.
Arab Saudi pula hanya membenarkan pasukan penyiasat Turki memasuki premis berkenaan pada 15 Oktober.
Dalam pada itu, tunang Jamal iaitu Hatice Cengiz menerusi Twitternya melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan cara pembunuh melupuskan mayat kekasihnya itu.
“Saya tidak mampu untuk meluahkan rasa sedih selepas mengetahui bagaimana jasad awak dilupuskan, Jamal.
“Mereka bunuh dan kerat tubuh awak, menyebabkan saya dan keluarga sukar untuk menyembahyangkan serta mengebumikan jenazah awak di Madinah seperti yang diminta sebelum ini,” tulisnya.











