PONTIAN 11 Nov. – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) membelanjakan sebanyak RM6 juta untuk menaik taraf beberapa tempat di Taman Negara Johor Pulau Kukup di sini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, kerja-kerja menambah baik kemudahan di kawasan itu sejajar usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
Selain itu, tambahnya, langkah tersebut bagi merupakan langkah diambil IRDA memulihara dan memelihara pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni dan kedua terbesar di dunia.
“Projek itu membabitkan pembinaan Jambatan Glulam yang menggunakan teknologi glue laminated yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara sepanjang 60 meter.
“Selain itu, projek tersebut turut membabitkan pembinaan pelantar pejalan kaki serta membina tiga platform bagi mengindahkan lagi kawasan itu,” katanya di sini hari ini.
Taman Negara Johor Pulau Kukup yang mempunyai tarikan antara lain 27 spesies bakau asli yang popular iaitu bakau kurap selain tujuh spesies mamalia, enam spesies reptilia, 23 spesies burung dan 111 spesies ikan.
Pulau Kukup, satu daripada dua buah pulau bakau tropikal yang tidak boleh didiami di dunia merupakan satu daripada tiga kawasan ramsar di negeri ini selain daripada Sungai Pulai Basin dan Tanjung Piai.
Ismail berkata, projek menaik taraf yang bermula pada 2015 dan siap pada tahun lalu itu kini sudah dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, tambahnya, IRDA yang merupakan sekretariat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri (JMC) Malaysia-Singapura dalam bidang pelancongan turut menjalankan kerjasama dengan republik itu.
“Kerjasama bagi mempromosi sektor pelancongan itu termasuk memperkenal program Passport to Nature membabitkan Taman Negara Johor Pulau Kukup di sini dan Sungei Buloh Wetland Reserve di republik berkenaan bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya.











