DAP bukan parti jawatan, habuan - Utusan Malaysia

DAP bukan parti jawatan, habuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 11 Nov. – DAP bukan parti untuk mendapatkan jawatan, habuan atau gelaran, kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Beliau yang dilantik sebagai Senator sebelum dipilih menjadi Timbalan Menteri Pertahanan berkata, DAP perlu kekal sebagai satu parti beridealisme yang melontarkan idea-idea baharu untuk memberi kehidupan sejahtera kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau mahu Johor yang mempunyai banyak kerusi parlimen berbilang kaum kekal sebagai negeri yang menjadi penggerak utama untuk mereka terus menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mahu DAP kekal sebagai parti beridealisme dan bukan parti untuk mendapatkan jawatan, habuan atau gelaran. DAP juga mahu Johor kekal menjadi frontline state untuk kita terus memimpin Putrajaya, Johor tempat klasik masyarakat majmuk.

“Ia merupakan antara perkara yang kita akan hadapi dalam beberapa tahun ini,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor 2018 di sini sebentar tadi.
 
Yang turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. 

Chin Tong yang kalah kepada Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Parlimen Ayer Hitam pada PRU-14 turut mengakui bukan mudah untuk mereka menghadapi pilihan raya akan datang kerana antara faktor utama yang menyumbang kemenangan PH pada PRU lalu adalah kerana rakyat tidak suka kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  

“Kali ini ramai yang sokong kita ada juga sebab mereka suka kepada DAP tetapi ada ada juga sebab tidak suka kepada Najib. Jadi, kita perlu terus bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik dan memenangi hati rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×