Pemain, pegawai pasukan Perak terima RM10,000, lot rumah - Utusan Malaysia

Pemain, pegawai pasukan Perak terima RM10,000, lot rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri mengumumkan insentif wang tunai berjumlah RM10,000 dan satu lot tapak rumah kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak yang memenangi Piala Malaysia 2018 baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah berjaya membawa pulang piala berprestij itu ke negeri ini selepas penantian selama 18 tahun.

“Selain insentif yang telah diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), kerajaan negeri akan menambah RM10,000 kepada setiap pemain selain daripada pingat yang telah dikurniakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga akan berikan satu lot (tapak) rumah kepada pemain dan pegawai pasukan. Kita akan memberikan insentif ini secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah bersempena Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2018 di Dataran Pavilion di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada pasukan hoki Perak yang telah memenangi Piala Razak baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat membuat pengumuman pada hari ini kerana perkara itu belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Perak telah memberi insentif sebanyak RM15,000 seorang kepada setiap pemain pasukan bola sepak negeri itu selepas berjaya melangkah ke peringkat akhir saingan Piala Malaysia 2018.

Ahmad Faizal mengumumkan insentif itu bagi menaikkan lagi semangat para pemain bagi menghadapi perlawanan separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik antara Perak dan Sabah bulan lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×