KUALA KANGSAR 11 Nov. – Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2018 yang diadakan di Dataran Pavillion di sini hari ini, semakin mendapat sambutan hebat apabila berjaya menarik penyertaan sebanyak 6,916 peserta.
Lebih meriah apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut mencemar duli berangkat menyertai acara larian tersebut.
Turut menyertai baginda berdua ialah dua anakanda baginda iaitu Raja Kecil Besar, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan upacara pelepasan peserta bagi kategori 15 kilometer, 10 kilometer dan tujuh kilometer.
Bagi pelepasan larian untuk kategori Orang Kenamaan sejauh 2.8 kilometer pula disempurnakan adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran pasukan bola sepak Perak yang menjuarai Piala Malaysia diketuai oleh ketua jurulatihnya, Mehmet Durakovic serta pasukan hoki Perak yang telah memenangi Piala Razak. – UTUSAN ONLINE











