RAUB 11 Nov. – Seramai 107 orang daripada 27 keluarga menjadi kumpulan mangsa banjir pertama di negeri ini dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air awal pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Zainal Yusof berkata, kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Atok di sini.
“Pusat Kawalan Operasi APM Raub menerima panggilan daripada Ketua Kampung Ulu Atok pada pukul 1.50 pagi mengenai kejadian banjir di Kampung Ulu Atok.
“Seramai 107 mangsa yang terdiri daripada 50 dewasa, 34 kanak-kanak, 20 warga emas, dua bayi dan seorang orang kurang upaya (OKU) dipindahkan ke pusat pemindahan sementara,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zainal, pihaknya masih meneruskan pemantauan bagi memastikan semua mangsa dipindahkan ke tempat selamat. – UTUSAN ONLINE











