RAUB – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Kampung Ulu Atok di sini selepas kampung dilanda banjir awal pagi tadi.
PPS yang menempatkan seramai 113 mangsa daripada 29 keluarga itu ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Atok yang mula dipindahkan seawal pukul 2 pagi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian banjir kira-kira pukul 1.50 pagi sebelum memulakan operasi memindahkan mangsa.
“Banjir dipercayai berlaku kerana hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam sebelum itu.
“Kampung tersebut terletak di kawasan rendah dan hujan lebat menyebabkan air sungai berhampiran melimpah,” katanya menerusi satu kenyataan menerusi Whatsapp di sini hari ini. – K! ONLINE












