Derita tiada kesudahan - Utusan Malaysia

Derita tiada kesudahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Episod kesengsaraan pe­larian Rohingya bagaikan tiada kesudahannya apabila kesempitan kaum tersebut dijadikan alat bagi sindiket untuk mengaut keuntungan di negara ini.

Itulah nasib malang menim­pa etnik itu yang begitu ter­desak untuk memiliki sekeping kad hanya semata-mata mahu dijadikan sebagai pengiktirafan diri apatah lagi apabila menye­dari mereka tidak bernegara dan bergelar pelarian.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Rohingya ASEAN, Dr. Helmi Ibrahim, berikutan itu, ramai di antara mereka menjadi mangsa diperdaya sindiket, ejen serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menawarkan pelbagai kad termasuk sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, untuk makluman, hanya kad UNHCR sahaja yang diperakui untuk mengatakan mereka adalah pelarian dan pada dasarnya hanya dikeluarkan oleh badan tersebut tanpa sebarang bayaran.

“Antara sebab mereka benar-benar inginkan kad itu adalah bagi mengelak diri mereka ditahan pihak berkuasa di negara ini, memandangkan kad ini membezakan mereka dengan pendatang tanpa izin (PATI) dari negara lain, selain mereka boleh mendapatkan rawatan dan perubatan di hospital kerajaan.

“Sekarang ada kira-kira 150,000 pelarian Rohingya di Malaysia, tetapi tidak semua memiliki kad berkenaan, maka wujud sindiket yang memalsukan kad berkenaan selain me­ngenakan caj sehingga ratusan ringgit bagi satu kepala,” katanya.

Di samping itu, Helmi turut mendakwa ada pula NGO Rohingya di negara ini yang turut mengambil kesempatan dengan mengeluarkan kad sendiri yang kononnya pemilik kad ber­kenaan turut diperakui selain tidak dikenakan tindakan sekiranya ditahan pihak berkuasa.

Namun, kad-kad tersebut langsung tidak mempunyai sebarang fungsi seperti yang dikeluarkan oleh UNHCR dan hanya menjadi alat untuk mengaut keuntungan pihak-pihak tertentu.

“Ini pula buat macam perniagaan, bayar RM300 mereka akan diberikan kad dikeluarkan NGO tersebut, sedangkan kad itu tidak diiktiraf. Malah siapa yang membantu memperkenalkan rakan lain akan diberikan komisen.

“Apa yang menyedihkan, majoriti masyarakat ini bukan sahaja terdesak malah kurang pendidikan sebab itu mudah diperdaya, sudahlah tidak berduit terpaksa pula membayar sejumlah wang bagi memastikan semua ahli keluarga mereka memiliki kad tersebut,” kata­nya.

Dalam pada itu, Helmi turut mempersoalkan tentang kewujudan program kad MyRC yang membolehkan golongan pela­rian tersebut berdaftar.

“Kenapa pula wujudkan program sedemikian dengan me­ngenakan caj yang agak mahal,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×