TEMERLOH 10 Nov. – Seorang kanak-kanak trauma selepas didakwa dicabul dan didera di sebuah rumah kebajikan dan anak yatim di Charuk Puting di sini baru-baru ini.
Difahamkan, kejadian itu turut melibatkan sekumpulan pelajar lain.
Ibu mangsa, Jamilah Mohamad,30, berkata, dia amat terkejut apabila mendapat tahu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai kejadian menimpa anak perempuan sulungnya yang berusia 10 tahun.
“Saya tidak sangka anak saya mengalami gangguan seksual termasuklah diraba di badan dan alat sulit selain didera dengan cara disalai dengan api.
“Saya sedih kerana anak saya yang sebelum ini ceria mengalami trauma dan lebih suka menyendiri di rumah akibat kejadian itu,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Jamilah, anaknya dihantar ke sekolah kebajikan berkenaan Jun lalu bersama adik lelakinya yang berusia enam tahun.
Beliau mendakwa ada mendengar cerita mengenai murid-murid di rumah kebajikan berkenaan didenda termasuklah dengan salai kaki dan terdapat bilik kurungan yang kini dijadikan stor
“Saya tidak mengesyaki apa-apa cuma sebelum ini pelbagai alasan diberikan jika kami ingin melawat dan pesanan WhatsApp pun tidak dibalas oleh warden.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood mengesahkan kejadian dan berkata, polis masih melakukan siasatan.











