Anwar akui Port Dickson semakin dikenali dunia - Utusan Malaysia

Anwar akui Port Dickson semakin dikenali dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Port Dickson semakin dikenali dunia sejak beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober lalu.

Beliau berkata, nama Port Dickson menjadi sebutan pemimpin dunia termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan apabila beliau membuat keputusan bertanding kerusi Parlimen daerah ini pada 13 Oktober lalu.

“Saya suka kerana Port Dickson kini terkenalr di seluruh dunia. Presiden Turki telefon saya ucap tahniah kerana menang sebagai Ahli Parlimen Port Dickson. Beliau sebut nama Port Dickson.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Temuramah saya dengan (media antarabangsa) BBC dan Bloomberg baru-baru ini juga menyebut nama Port Dickson. Maka betul seluruh dunia sudah tahu (Port Dickson) sekarang,” katanya pada Majlis Ulangtahun Ke-38 Persatuan Keturunan Toh Port Dickson di Lukut dekat sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, M. Ravi dan Pengerusi Persatuan Keturunan Toh Port Dickson, Prof. Madya Datuk Dr. Toh Kian Kok.

Kira-kira 1,000 tetamu menghadiri majlis yang diadakan di Dewan The Grand bermula pukul 7.30 malam tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau percaya mampu menunaikan segala janjinya dalam PRK kerusi Parlimen Port Dickson termasuk meningkatkan tahap ekonomi dan sosio masyarakat daerah ini.

Katanya, beliau malah telah berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi mencapai perkara tersebut.

“Saya telah berbincang untuk menjadikan ekonomi, hotel, kilang-kilang dan tahap pendidikan di Port Dickson lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Kian Kok berkata, Persatuan Keturunan Toh Port Dickson gembira Anwar menjadi Ahli Parlimen Port Dickson dan akan menyokong penuh Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×