KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 rumah urut yang beroperasi tanpa lesen digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Ops Rumah Urut di sekitar ibu negara di sini awal pagi tadi.
Serbuan bermula pada pukul 8 malam itu dianggotai seramai 24 anggota penguatkuasa DBKL dan menyasarkan rumah urut yang beroperasi tanpa lesen perniagaan.
Difahamkan, terdapat beberapa premis yang enggan memberi kerjasama dengan menutup pintu masuk dan anggota DBKL terpaksa memecahkan pintu masuk sebelum memasuk premis tersebut.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Azman Mahmood berkata, serbuan terhadap premis berkenaan dilakukan selepas menerima aduan orang ramai.
“Hasil risikan selama seminggu, kita mendapati kesemua 22 pusat urut ini menjalankan operasi secara haram dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.
“Kita juga telah mengambil tindakan terhadap kesemua premis berkenaan dengan menyita barangan di kesemua 22 rumah urut tersebut dan 16 daripadanya telah ditutup,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE











