KUALA KANGSAR 10 Nov. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak yang berperanan memangku tugas dalam tempoh baginda menjalankan fungsi-fungsi jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Jemaah Pemangku Raja Perak yang akan berkuatkuasa esok akan dipengerusikan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim berkata, jemaah tersebut turut dianggotai dua lagi ahli iaitu Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
“Istiadat mengangkat sumpah pengerusi dan ahli jemaah itu diadakan di hadapan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
“Jemaah Pemangku Raja Perak itu akan berkuatkuasa esok,” katanya di sini hari ini.
Istiadat pelantikan Jemaah Pemangku Raja Perak berkenaan diadakan di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Pada 2 November lalu, Sultan Nazrin telah menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Perisytiharan itu bagi membolehkan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan sehingga 31 Disember ini.-UTUSAN ONLINE











