SAUDARA PENGARANG,
SEKALI lagi isu rokok menjadi buah mulut masyarakat. Pasca pengumuman larangan merokok di perkarangan semua restoran terbuka bermula 2019, laman sesawang dipenuhi komen-komen yang cukup hangat.
Apa yang jelas adalah kerajaan Malaysia cukup serius dalam membanteras tabiat merokok ini. Pengumuman dasar seperti kenaikan harga rokok dan memperkasakan langkah untuk membanteras rokok seludup yang saban hari semakin banyak dijual di kedai-kedai runcit, pendekatan ini memang patut disokong.
Namun, adakah kaedah-kaedah ini cukup untuk mendorong perokok berhenti merokok? Perlu diingat bahawa merokok adalah satu ketagihan dalam kalangan lima juta perokok di Malaysia, satu angka yang kekal sejak bertahun lamanya meskipun kerajaan telah berusaha untuk memperkenalkan pelbagai dasar bagi menghalangnya.
Sememangnya merokok adalah ketagihan yang sukar untuk dihentikan. Saya bercakap daripada pengalaman. Suami saya adalah seorang perokok sejak 37 tahun lalu. Suami saya salah seorang daripada perangkaan lima juta perokok itu.
Setiap hari saya melihat sendiri betapa besar cabarannya bagi suami saya untuk berhenti merokok. Berapa kali janji yang dimungkari. Namun, semuanya berubah dua tahun lalu, pada saat kemuncak debat produk alternatif.
Jelas produk alternatif telah mengubah lanskap perokok tempatan. Bagi suami saya, pengalamannya mencerminkan keazaman ramai bekas perokok lain. Penghijrahannya daripada rokok ke produk alternatif jelas telah mengubah gaya hidup kami sekeluarga.
Dari segi ketagihan, perubahannya jelas. Daripada merokok dua kotak sehari, dia kini hanya menggunakan produk alternatif seperti rokok elektronik (vape) atau produk tembakau yang dipanaskan, dalam kuantiti yang saban hari semakin sedikit.
Dari segi kebersihan pun semakin positif. Produk alternatif tembakau dipanaskan yang popular di Korea dan Jepun sebagai contoh, tiada abu atau asap rokok. Bau rokok yang dahulunya mencemar baju kerja suami pun tiada lagi.
Melihatkan polemik ketagihan dan berhenti merokok, mungkin wajar dipertimbangkan peranan yang patut dimainkan produk-produk alternatif di pasaran.
Sememangnya mengelak daripada mula merokok atau berhenti merokok adalah tindakan yang terbaik. Namun, bagi mereka yang tetap bertarung dengan ketagihan ini, semua kaedah, termasuk produk alternatif mempunyai peranan yang penting dan wajar dipertimbangkan.
JANARIAH MOHD. KASSIM
Seremban











