Cabaran Hafizh musim depan - Utusan Malaysia

Cabaran Hafizh musim depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA menggunakan jentera standard pada aksi sulung perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak mematahkan semangat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk memberi tentangan dalam perebutan gelaran pelumba baharu terbaik musim ini.

Kehadiran Hafizh pada MotoGP mengejutkan rata-rata pelumba berpe­ngalaman lain selepas dia diangkat untuk menggantikan pelumba Jerman, Jonas Folger yang menarik diri atas faktor kesihatan.

Meskipun ramai meragui penampilannya dalam kelas perdana, pelumba berusia 24 tahun itu tidak menghiraukan ‘cakap-cakap sumbang’, namun dia berjaya mendapatkan kepercayaan daripada pasukan Tech 3 musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hafizh ketika ini berjaya menempatkan dirinya di tangga kedua dalam carta pelumba baharu apabila mengutip 40 mata musim ini.

Bagi Hafizh, tahun pe­rtamanya adalah untuk meraih pengalaman sebanyak mungkin untuk mempelajari mengawal jentera MotoGP selain meletakkan dirinya setanding dengan pelumba-pelumba hebat lain.

Hafizh akan kekal bersama Tech 3 musim depan, namun pelumba yang mendapat jolokan El Pescao itu berdepan cabaran baharu apabila bakal menggunakan jentera berbeza berbanding Yamaha iaitu daripada pengeluar Austria, KTM.

Bagaimanapun, Hafizh dijanjikan memperoleh jentera terbaik seperti rakan sepasukannya, Johann Zarco yang berhijrah ke pasukan pengeluar KTM. Hafizh pula akan beraksi bersama pasukan satelit, Red Bull KTM Tech 3 dan difahamkan akan bergandingan dengan Miguel Oliveira.

Zarco akan digandingkan dengan Pol Espargaro buat Red Bull KTM Factory Racing, namun kedua-dua pasukan tersebut akan menggunakan jentera KTM RC16.

“Terima kasih kepada 
Tech 3 kerana terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada saya sehingga hari ini. Musim depan kami akan menggunakan jentera KTM dan sudah pasti ia cabaran buat kami pada tahun pertama.

“Saya meletakkan kepercayaan kepada Tech 3 kerana mereka menjelaskan kepada saya bahawa musim 2019, saya akan mendapatkan jentera yang sama digunakan oleh pasukan pengeluar. Apa yang Zarco guna, saya juga akan mendapat jentera yang sama.

“Difahamkan, keempat-empat pelumba KTM akan menggunakan jentera pengeluar supaya pasukan KTM mampu memberi saingan bagi musim 2019 terutama mengatasi pasukan pengeluar seperti Yamaha, Honda, Ducati mahupun Suzuki.

“Tahun pertama bersama KTM mungkin sedikit sukar kerana saya belum ada pe­ngalaman menunggang jentera itu. Saya akan bekerja keras untuk mendapatkan keserasian secepat mungkin,” kata Hafizh.

Hafizh akan meneruskan perlumbaan terakhir bersama jentera Yamaha di Valencia minggu depan dan dilihat masih mempunyai peluang untuk mengejar kedudukan sebagai pelumba baharu terbaik selepas dibezakan 10 mata dengan Franco Morbidelli.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata penampilan Hafizh bersama penaja baharu itu Red Bull KTM Tech 3 pasti memberi rangsangan terbaik kepadanya untuk mempamerkan aksi yang lebih positif.

“Tahun depan pasti menarik kerana Hafizh bakal mengemudi jentera berstatus pengeluar tetapi mungkin sukar kepadanya untuk kembali mendapatkan keserasian bersama jentera baharu.

“Tetapi saya tetap meletakkan keyakinan kepada Hafizh mampu melakukan dengan baik,” kata Razlan baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×