IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa kesal atas tindakan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang meletakkan jawatan Presiden Persatuan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) serta-merta semalam.
Beliau berkata, ini kerana Hasnul telah menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin sehingga pasukan Perak berjaya meraih Piala Malaysia selepas 18 tahun menanti.
“Saya ingin menyatakan penghargaan tertinggi bagi pihak kerajaan negeri kepada Hasnul atas segala bakti beliau sehingga pasukan Perak berjaya memenangi Piala Malaysia.
“Keputusan beliau meletakkan jawatan adalah mungkin kerana menghormati pandangan orang ramai dan kesal dengan kesilapan kecil yang beliau telah lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh’di sini malam tadi.
Ditanya mengenai beberapa kelab penyokong bola sepak Perak yang mencadangkan Menteri Besar itu menggantikan Hasnul, Ahmad Faizal berkata, masih terlalu awal untuk memberi pandangan mengenai perkara berkenaan. – Bernama











