Farid Kamil akan dipanggil bantu siasatan kes cubaan rasuah RM5 juta - Utusan Malaysia

Farid Kamil akan dipanggil bantu siasatan kes cubaan rasuah RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis akan memanggil pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang mengaitkannya dengan dakwaan cubaan rasuah berjumlah RM5 juta oleh kerajaan terdahulu dalam masa terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 43 tahun di Balai Polis Kota Damansara kira-kira pukul 6 petang semalam terhadap pelakon terkenal berkenaan.

Katanya, lelaki berkenaan merupakan wakil kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam laporan polis berkenaan, pengadu menyatakan telah melihat satu video di YouTube MyFokus Online di mana Farid mendakwa beliau telah cuba dirasuah sebanyak RM5 juta bagi memaafkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datuk Seri Rosmah Mansor.

“Laporan itu mengatakan bahawa Farid sengaja mereka-reka cerita untuk menjatuhkan imej bekas Perdana Menteri dan isteri.

“Malah pengadu juga menyatakan, jika dakwaan Farid itu benar, mengapa tidak melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Fadzil berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Farid sebelum itu menerusi video yang dimuat naik dalam YouTube MyFokus Online semasa program TV Al-Hijrah berjudul “Nak jadi artis ke nak jadi ahli politik?” yang disiarkan pukul 10 malam Rabu lalu, mendakwa beliau cuba dirasuah sebanyak RM5 juta oleh pihak Kerajaan untuk memaafkan Najib dan Rosmah.

Terdahulu, Lokman Noor berkata, dakwaan Farid itu berat dan perlu segera disiasat polis.

Katanya, Farid juga dilihat membuat dakwaan palsu selain mahu menghina Najib dan Rosmah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN