Durian runtuh buat pemain Perak - Utusan Malaysia

Durian runtuh buat pemain Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Perak akan memberi dua insentif berupa wang tunai dan anugerah istimewa kepada pemain skuad The Bos Gaurus yang berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2018 pada 27 Oktober lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azu­mu berkata, kejayaan tersebut begitu membanggakan dan sudah pasti barisan pemain gembira de­ngan insentif yang bakal diberikan kelak.

“Sebenarnya sebelum perlawanan akhir (Piala Malaysia) itu, saya telah berbisik de­ngan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, kerajaan ne­geri akan memberi insentif menarik sekiranya mereka berjaya membawa pulang Piala Malaysia,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Retreat Draf Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 (Kajian Semula) di Ipoh semalam.

Perak muncul juara Piala Malaysia setelah menewaskan Terengganu Football Club I (TFC I) menerusi penentuan sepakan pe­nalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa tambahan.

Ahmad Faizal berkata, PAFA turut menerima imbuhan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila berjaya menjulang Piala Malaysia yang turut akan diberikan sebagai insentif kepada pemain.

“Jadi bagi pihak kerajaan negeri, kita akan tambah imbuhan itu dan jumlahnya saya akan umumkan selepas piala itu dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah nanti,” katanya.

Kelmarin, selepas menjadi tetamu dalam program Radio Malaysia PerakFM, Ahmad Faizal berkata, Piala Malaysia 2018 yang dimenangi Perak akan dipersembahkan kepada Sultan Nazrin di Kuala Kangsar Ahad ini.

Beliau berkata, piala itu yang kembali kepada Perak selepas 18 tahun akan dibawa ke Kuala Kangsar dengan diiringi barisan pemain sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Perak ke-62 yang disambut Jumaat lepas.

Katanya, acara berkenaan sudah mendapat perkenan Sultan Nazrin dan semua pemain serta pegawai pasukan akan menerima pingat kebesaran daripada baginda pada 10 November sebagai tanda penghargaan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN