CANDI Borobudur yang terletak di Magelang, Jawa Tengah, Indonesia selama ini menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara sejak didirikan pada abad kelapan.
Kewujudannya secara tidak langsung memberi kemakmuran dan kesenangan bagi penduduk yang berhampiran dengan candi Buddha terbesar itu.
Pada tahun 2016, Borobudur dikunjungi kira-kira 3.7 juta orang. Pada tahun ini disasarkan sekitar 4.7 juta pengunjung bakal berkunjung ke kawasan tersebut.
Banyak kemudahan pengangkutan, kedai makanan, restoran, galeri dan rumah inap terdapat di sekitar kawasan candi tersebut.
Dengan bilangan pengunjung yang terus bertambah dari tahun ke tahun, peluang perniagaan tersebut dijangka melonjakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Bukan hanya kepada warga sekitar, kewujudan candi Borobudur juga bakal memberi limpahan rezeki kepada pengusaha dan peniaga di daerah Yogyakarta kerana kebanyakan pelancong yang datang ke Borobudur akan memilih untuk menginap di hotel-hotel berhampiran candi tersebut.
Kebanyakan peniaga berpendapat, candi Borobudur merupakan punca utama rezeki dan memberikan mereka sumber pendapatan bulanan sejak puluhan tahun lalu.
Bagaimanapun, kira-kira 60,000 penduduk yang tinggal dan menetap di 20 daerah di Kecamatan Borobudur masih banyak yang tidak mendapat peluang perniagaan terutama penduduk yang kampung mereka agak jauh dari candi berkenaan.
Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN) mengakui bahawa perkongsian rezeki menerusi candi Borobudur perlu disebar luas sasarannya agar ia dapat dinikmati secara berterusan seiring dengan pertambahan bilangan pelancong.
Menerusinya, beberapa langkah wajar dan konkrit perlu diambil dan dilaksanakan seperti membangunkan lebih banyak balai ekonomi desa (balkondes) yang berperanan sebagai pusat perniagaan, sosial, seni, budaya dan pelancongan di setiap desa di Kecamatan Borobudur.
Menterinya, Rini Soemarno berkata, program pembangunan balkondes perlu ditambah baik kerana kementeriannya mendapati rata-rata masyarakat di kawasan Borobudur yang bekerja sebagai petani masih berada pada taraf kemiskinan.
Katanya, sehingga kini 19 daripada 20 perkampungan yang ada di Kecamatan Borobudur sudah pun mempunyai bolkandes dan hanya tinggal satu belum dibangunkan atas beberapa sebab tertentu.
Perniagaan
“Setiap balkondes mempunyai satu bangunan khas yang terdiri daripada beberapa bilik berkonsep desa selain bertaraf hotel yang mempunyai bintang.
“Selain membangun bilik-bilik kecil yang turut mempunyai pondok, bolkandes turut menyediakan ruang khas untuk aktiviti kebudayaan serta ekonomi,” katanya.
Rini memberitahu, pengusaha makanan dan minuman juga berpeluang menjalankan perniagaan di tapak perniagaan yang disediakan di kompleks balkondes.
Menariknya, bukan setakat itu sahaja, penggiat seni dan budaya juga diberi ruang dan waktu untuk menampilkan gamelan, muzik dan tarian.
Balkondes Ngadiharjo misalnya menjadi bukti betapa tempat tersebut bukan sahaja diperkenalkan sebagai pusat perniagaan, malah turut menjadi medan pertemuan berskala antarabangsa.
“Lebih 100 delegasi Majlis Wanita Antarabangsa (ICW) yang berkumpul di bolkandes pada 18 September lalu mendapat pengalaman menarik ketika berada di balai berkenaan.
Ikon utama
“Para delegasi juga dijamu dengan pelbagai sajian makanan dan minuman khas perkampungan Indonesia seperti wedang jahe dan uwuh yang diperbuat daripada herba serta kopi,” ujarnya.
Tambahnya, maklum balas positif turut diberikan delegasi ICW yang menginap di Bolkandes The Gade di desa Ngargogondo baru-baru ini.
Katanya, mereka turut dihidangkan dengan makanan seperti ubi rebus serta merasai suasana desa di balkondes itu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Badan Usaha Milik Desa, Sabil memberitahu, bolkandes bakal menjadi ikon utama bagi sektor pelancongan di Yogyakarta sekali gus bakal memacu pertumbuhan ekonomi.
“Memang diakui ada sebahagian balkondes agak jauh dari candi Borobudur ditambah akses jalan raya yang kurang baik buat masa kini,” ujarnya.
Tambahnya, balkondes Wanujero misalnya mempunyai nilai jualan yang sangat eksklusif dan memberangsangkan kerana pengunjung boleh menyaksikan pemandangan matahari terbenam dari bahagian tertentu candi Borobudur.
“Sementara itu, Balkondes The Gade pula lokasinya betul-betul berada di tanah lapang di kaki Bukit Menoreh,” ujarnya.
Menurutnya, Balkondes Tuksongo dan Balkondes Saka Pitu Tegal Arum agak menawan dengan reka bentuk khas bangunan dan ruang-ruang terbuka yang disediakan.
“Balkondes yang sudah beroperasi telah berjaya menambah pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.











