KUALA LUMPUR 8 Nov. – Datuk Lee Chong Wei mendedahkan dia menangis selama seminggu selepas disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal selain terpaksa melalui detik sukar semasa menjalani sesi rawatan di Taiwan selama hampir tiga bulan.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu memberitahu, pada mulanya dia seperti tidak boleh menerima hakikat bahawa dia menghidap penyakit yang bukan sahaja mampu menamatkan kariernya malah memberi ancaman kepada nyawa.
Selepas kembali daripada Terbuka Indonesia, dia merasakan sesuatu yang tidak kena dengan dirinya dan segera melakukan pemeriksaan kesihatan di dua hospital pakar di ibu negara dan dinasihatkan untuk ke Taiwan bagi mendapatkan pandangan kedua serta rawatan.
“Selepas dapat tahu saya ada kanser, saya menangis selama seminggu, saya tidak lalu makan dan seperti hilang arah dalam kehidupan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Ini kali pertama Chong Wei keluar ke khalayak ramai sejak kembali dari Taiwan untuk menjalani rawatan.
Chong Wei memberitahu lelangit mulutnya pecah, tekak serta leher rasa terbakar dan sukar untuk menelan makanan semasa menjalani rawatan terapi proton di Taiwan namun dia menguatkan semangat bagi melawan penyakit yang dihidapinya.
Jaguh badminton berusia 36 tahun itu berkata, dia menjalani 33 sesi rawatan terapi proton dan dia menangis ketika menjalani setiap sesi selain apabila tiba waktu makan kerana dia akan kesakitan setiap kali mahu menelan makanan tetapi hanya dengan makanan sahaja dia mampu melawan kanser yang dihidapinya ketika itu.
Dia memberitahu, rawatan yang dilakukannya itu membuatkan leher dan sebahagian dada serta belakangnya bertukar menjadi warna hitam seperti kesan terbakar selain berasa panas.
“Memang detik yang sukar… kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi perkara itu. Sepanjang rawatan saya rasa seperti terbakar di bahagian leher dan membuatkannya bertukar kepada warna hitam.
“Doktor nasihatkan saya untuk lawan penyakit ini tetapi selepas tiga minggu, mulut saya pecah kerana kesan rawatan dan saya hanya mampu minum susu sahaja tetapi susah untuk telan kerana terasa sakit. Ketika itu, setiap kali mahu makan, saya akan menangis.
“Doktor kata, saya perlu makan, kalau tidak makan saya tidak boleh buat rawatan. Perkara ini memang saya mahu lupakan tetapi tuhan sudah pilih saya untuk lalui perkara ini dan saya terima,” katanya, yang turut menasihatkan pesakit kanser agar cekal melawan penyakit berkenaan dan menjalani rawatan.











