LOS ANGELES 8 Nov. – Bintang tinju, Floyd Mayweather semalam membatalkan pertarungan yang dirancang dengan seorang petinju Jepun apabila mendakwa ditipu ketika menyatakan persetujuan untuk bertarung.

Dalam kenyataan di media sosial, Mayweather berkata, dia ditipu oleh penganjur yang melamarnya untuk menentang Tenshin Nasukawa pada sambutan Tahun Baharu di Saitama.
“Saya hendak jelaskan di sini, saya, Floyd Mayweather, tidak pernah bersetuju mengadakan pertarungan rasmi dengan Tenshin Nasukawa,” kata Mayweather dalam Instagram miliknya.
Juara welterweight yang telah bersara itu berkata, dia terbang ke Jepun minggu lalu bagi menyertai satu pertarungan tertutup menentang Nasukawa melibatkan sekumpulan kecil penonton dalam kalangan orang kaya dengan bayaran lumayan.
“Pertarungan pertunjukan itu diatur untuk tujuan hiburan semata-mata tanpa niat dianjur secara rasmi atau ditayang di televisyen seluruh dunia,” jelas Mayweather.
Sebaik sahaja tiba dalam sidang akhbar di Tokyo pada Isnin, Mayweather, 41, dan pasukannya terkejut dengan perubahan yang dilakukan penganjur. – AFP











