PUTRAJAYA 8 Nov. – Konsep penyampaian perkhidmatan awam perlu berubah bagi menghadapi cabaran yang semakin kompleks seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, bagi tujuan itu para penjawat awam perlu meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam melaksanakan tugas.
Beliau berkata, Industri 4.0 mencakupi pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis data besar, simulasi, integrasi sistem dan penggunaan robotik.
“Industri 4.0 mencakupi kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan. Perkembangan teknologi baharu ini diyakini dapat merancakkan kemajuan landskap dunia moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2018 (HIK 2018) yang bertemakan Inovasi Keunggulan Prestasi di sini hari ini.
Menurut Ismail, pihaknya akan melakukan reformasi perkhidmatan awam dengan menambah baik segala tadbir urus serta mendukung akauntabiliti serta ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.
“Perkara ini perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan awam dan ia harus dilaksanakan di semua peringkat jawatan.
“Kerajaan juga akan meningkatkan integriti, akauntabiliti, menguatkuasakan pengurusan kewangan awam yang berhemah selain memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.











