KUALA LUMPUR 8 Nov. – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).
Pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan, kata bank pusat.
“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” kata BNM dalam kenyataan di sini hari ini.
Mesyuarat MPC itu adalah yang keenam diadakan tahun ini dan ketiga dipengerusikan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.
BNM berkata, ekonomi dalam negeri terus menghadapi risiko pertumbuhan lebih perlahan berikutan ketegangan perdagangan yang terus meruncing dan kelemahan berpanjangan dalam sektor perlombongan dan pertanian.
“Bagaimanapun, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil pada 2018 dan 2019,” katanya. – BERNAMA











