KUALA LUMPUR 7 Nov. – Meskipun institusi pendidikan tinggi dianggap sebagai batu loncatan kepada belia untuk memperoleh masa depan lebih baik, terdapat kajian menunjukkan graduan bumiputera menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan.
Kadar pengangguran golongan tersebut didapati lebih tinggi berbanding rakan sebaya mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.
Perkara tersebut dinyatakan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan 2019 yang meneliti kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia dari tahap pendidikan berbeza berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2017.
Laporan itu menyebut, belia bumiputera berpendidikan tinggi merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada 2017 meliputi 4.6 peratus, jauh lebih tinggi daripada belia bumiputera yang hanya mempunyai kelulusan tahap sekolah menengah (4 peratus).
Sementara itu, belia dengan pendidikan sekolah rendah merekodkan kadar pengangguran 1.9 peratus manakala bumiputera yang tidak mempunyai sebarang pendidikan sekolah formal dengan kadar pengangguran terendah pada 1.5 peratus.
Dalam pada itu, belia Cina yang tidak mempunyai pendidikan formal mencatatkan kadar pengangguran tertinggi sebanyak tiga peratus manakala belia India 6.9 peratus.
Bagi kedua-dua kumpulan kaum itu, mereka yang lulus dari universiti mempunyai kadar pengangguran 2.9 peratus (Cina) dan 5.5 peratus (India).
Mereka yang dikategorikan sebagai ‘lain-lain’ mempunyai kadar pengangguran tertinggi dalam kalangan yang mempunyai pendidikan menengah (8.6 peratus) manakala pendidikan tinggi pada tahap 5 peratus.











