KUALA LUMPUR 7 Nov. – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli boleh mencongak peluangnya untuk kembali menyaingi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menetapkan untuk mengadakan semula pemilihan parti di tiga cabang di Sabah.
Cabang tersebut adalah Tawau, Keningau dan Pensiangan, yang sebelum ini ditangguhkan akibat masalah teknikal dan logistik sehingga menimbulkan insiden termasuk dakwaan kepala Rafizi cedera akibat diserang oleh seorang lelaki.
Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din ketika mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, pemilihan tersebut bakal diadakan semula pada tarikh yang akan ditetapkan.
Jelasnya, JPP tiada pilihan dan perlu memastikan Pemilihan PKR ditamatkan juga pada 11 November ini, memandangkan Kongres PKR akan diadakan dari 16 hingga 18 November ini di Shah Alam, Selangor.
Keputusan pemilihan PKR kali dijangka diketahui sebelum berlangsungnya perhimpunan tersebut.
Berdasarkan keputusan awal Pemilihan PKR peringkat Sabah melibatkan 22 daripada 25 cabang, Mohamed Azmin mengumpul 9,325 undi manakala Rafizi 7,714 undi.
Mengikut laporan, Pensiangan dan Keningau merupakan cabang yang akan memberi kemenangan besar kepada Rafizi sekali gus membolehkan beliau mengecilkan kelebihan 3,000 undi yang dimiliki oleh lawannya.
Rashid berkata, JPP mengamalkan sikap terbuka dan sekiranya mendapati memang berlaku kehilangan data, pihaknya akan membatalkan keputusan pemilihan dan melaksanakan semula proses undian seperti di Melaka pada 11 November ini.










