Iskandar dedah punca keluar BAM - Utusan Malaysia

Iskandar dedah punca keluar BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) penghujung tahun ini mengejutkan barisan kejurulatihan serta rakan-rakan sepasukannya.

ISKANDAR tekad mengejar impian beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain mahu bermain lebih tenang tanpa sebarang tekanan.

Apa tidaknya, juara kebangsaan itu secara tiba-tiba menyuarakan hasrat­nya kepada Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tanpa sebarang petunjuk kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Iskandar tampil menjelaskan keputusannya itu adalah disebabkan untuk mengejar impiannya beraksi pada Sukan Olimpik Tok­yo 2020 selain mahu bermain lebih tenang tanpa sebarang tekanan.

“Saya kekal dengan pendirian dan sebulat suara untuk meninggalkan kem kebangsaan tetapi saya tetap akan teruskan karier sebagai pemain profesional. Saya akan hantar surat penghujung tahun ini kerana memerlukan masa mencari penaja.

“Antara faktor saya membuat keputusan ini adalah untuk mencapai sasaran utama beraksi di Olimpik dan bermain lebih tenang. Saya fikir mungkin boleh bermain dengan lebih fokus,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Pada masa sama, aksi tidak konsis­ten yang ditampilkan dalam beberapa kejohanan terdahulu turut mempengaruhi Iskandar untuk mengambil keputusan paling sukar dalam hidupnya itu.

“Tipu jika saya cakap perkara (tidak konsisten) itu tidak mempengaruhi saya kerana kebanyakan pemain sudah tahu kelemahan saya. Bagaimana­pun, saya sudah ubah dan akan berjuang apabila bergerak secara bebas,” tambahnya.

Mengulas mengenai kekecewaan ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek yang terkilan dengan tindakannya tanpa mengadakan perbincangan, Iskandar mengakui sudah meminta maaf kepada legenda badminton tanah air itu.

“Saya sudah meminta maaf kepada beliau dan saya tidak mahu ulas panjang kerana itu antara kami berdua. Keputusan ini bukannya mudah, lebih-lebih lagi saya sudah anggap Misbun sebagai bapa saya kerana banyak membantu ketika berada dalam kesusahan,” ujarnya.

Sementara itu, Misbun berharap pemain berusia 27 tahun itu akan berubah menjadi pemain yang le­bih baik apabila berada di luar memandangkan sikap serta disiplin sangat penting sekiranya mahu menjadi pemain berjaya.

“Apa yang paling penting ketika berada di luar adalah disiplin serta tahu apa kemahuan diri. Saya tidak ada masalah sekiranya dia mahukan nasihat daripada saya walaupun tidak berada di bawah naungan BAM lagi.

“Daripada pengamatan saya, dia tidak dapat capai potensi sebenar adalah disebabkan sikap dan disiplin kerana itulah perkara paling penting. Saya harap dia akan berubah apabila keluar nanti,” ujar Misbun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN