KUALA LUMPUR 7 Nov. – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut 1.07 peratus kepada AS$101.7 bilion (RM424.01 bilion) setakat 31 Oktober lalu, berbanding AS$102.8 bilion (RM428.59 bilion) pada 15 Oktober lalu.
Menurut BNM, paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek.
“Rizab mata wang asing menyumbang sebahagian besar daripada rizab tersebut iaitu AS$96 bilion (RM400.24 bilion) manakala rizab Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) ialah AS$900 juta (RM3.75 bilion).
“Bagi rizab-rizab lain termasuk Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) pula ialah AS$1.1 bilion (RM4.59 bilion) diikuti emas AS$1.5 bilion (RM6.25 bilion) dan aset rizab lain, AS$2.2 bilion (RM9.17 bilion),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas BNM, jumlah aset bank berjumlah RM443.016 bilion manakala mata wang dalam edaran berjumlah RM103.141 bilion.











