JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Johor di Kampung Tembioh dekat Kota Tinggi, semalam, ditemukan lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan berkata, mayat Yong Sing, 83, ditemui terapung berhampiran tebing sungai kira-kira pukul 2.30 petang.
“Mangsa ditemui orang awam yang sedang memancing di tebing sungai kira-kira empat kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang sebelum orang awam berkenaan memanggil bot bomba yang sedang membuat rondaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, mayat Yong Sing kemudian dibawa ke Pos Kawalan Bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai penemuan mayat Yong Sing.
“Mangsa ditemui pukul 2.30 petang oleh pemancing dan mayatnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya.
Semalam, Yong Sing dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas motosikal miliknya ditemui bersama topi keledar berhampiran sungai berkenaan.
Mangsa dikatakan keluar bersiar sebelum dilaporkan hilang oleh anaknya yang perasan ketiadaan motosikal milik bapanya di rumah sejak pukul 4 pagi semalam. – Bernama











