PUTRAJAYA 5 Nov. – Isu melibatkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) belum lagi dibincangkan secara terperinci di peringkat Kabinet.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan, isu berkenaan ratifikasi itu akan dibincangkan di Kabinet selepas ini.
“Belum… Kita belum lagi membincangkan isu ICERD secara terperinci di dalam Kabinet. Ini kita akan bincangkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas Sempena Hari Kanak-kanak, OKU dan Warga Emas 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Semalam, dianggarkan lebih 1,500 orang berkumpul di sekitar pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru di ibu kota bagi membantah pengiktirafan ICERD di Malaysia.
Peserta himpunan aman yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil parti politik dan aktivis sosial berkumpul mulai 12.30 tengah hari, sambil melaungkan penentangan terhadap deklarasi itu yang dianggap bakal menggugat kepentingan agama dan menghakis hak bumiputera.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad sebelum ini juga mendakwa, tindakan meratifikasi atau mengesahkan ICERD akan mengakibatkan berlakunya penghapusan kepada hak istimewa yang dimiliki orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
Ditanya berhubung dakwaan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli diserang dan dipukul di bahagian kepala di Cabang Keningau, Sabah sebelum ini, Dr. Wan Azizah berkata, hal tersebut akan disiasat.
Terdahulu ketika berucap, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, kerajaan mengambil perhatian yang serius dalam menangani fenomena penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Di satu sisi lain katanya, terdapat risiko ancaman siber serta statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan sebanyak 86 kes buli siber telah dilaporkan bagi 2014 hingga Oktober lalu.
“Saya berharap semua pihak lebih-lebih lagi ibu bapa dan ahli keluarga memberikan perhatian kepada kanak-kanak supaya dapat mengenal pasti sekiranya terdapat unsur-unsur eksploitasi di peringkat awal,” katanya. – UTUSAN ONLINE











