KUALA LUMPUR – Mantan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baharu berkuat kuasa 1 November lalu.
Beliau yang menggantikan Tan Sri Dr. Ibrahim Saad akan memegang jawatan tersebut sehingga 31 Oktober 2021.
UKM dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, Abdul Wahid merupakan tokoh korporat paling versatil di Malaysia dan berpengalaman luas memimpin organisasi utama dalam bidang infrastruktur, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan pengurusan pelaburan.
Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali, UKM berbangga dengan pelantikan tersebut.
“Warga UKM akan memberikan kerjasama terbaik dalam memastikan kelancaran Lembaga Pengarah Universiti dan bertindak efektif dalam membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Wahid menjelaskan beliau amat menghargai penghormatan yang diberikan dan berbesar hai menerima pelantikan berkenaan.
“Peluang keemasan ini memenuhi impian saya untuk menyumbang dalam bidang pendidikan, kepimpinan dan pembangunan sumber manusia.
“Saya akan cuba buat yang terbaik untuk UKM dan negara,” katanya.
Abdul Wahid sebelum ini memegang pelbagai jawatan termasuk Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Jun 2013 sehingga Jun 2016 selain sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia dan Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad. – K! ONLINE











