BARCELONA 5 Nov.- Bintang Barcelona, Lionel Messi mungkin boleh kembali beraksi lebih awal bersama pasukannya menjelang aksi menentang Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.
Empat kemenangan daripada empat perlawanan, termasuk ketika menumpaskan Inter Milan dan membelasah Real Madrid, bakal menyaksikan kekuatan mereka semakin bertambah dengan sekembalinya Messi walaupun sebelum ini The Catalan tidak berdepan masalah tanpa penyerang tersebut.
Perkhabaran itu pasti memberi kegembiraan kepada kem Barca untuk melihat Messi sembuh sepenuhnya, malah kelab berkenaan juga sudah menyenaraikan pemain kelahiran Argentina itu untuk aksi di San Siro walaupun masih belum mendapat lampu hijau berkaitan laporan kesihatan.
Bagaimanapun, peranannya masih belum pasti sama ada turun selaku pemain gantian atau perlu menanti sehingga aksi Ahad ini menanti kunjungan Real Betis bagi perlawanan La Liga.
Ketiadaan Messi kurang diperkatakan berbanding 15 hari lalu apabila tangan kanannya patah ketika perlawanan menentang Sevilla.
Selepas Inter, Real, Cultural Leonesa dan Rayo Vallecano, kemenangan sebelum ini tidak boleh membuatkan mereka berasa selesa selepas musuh tradisinya, Real menumpaskan Real Valladolid untuk kemenangan pertama daripada enam saingan liga.
Luis Suarez menjaringkan dua gol Sabtu lalu, di mana jaringan kedua pada minit ke-89 mengesahkan kemenangan mereka selepas bangkit untuk menumpaskan Rayo.
Selepas enam perlawanan tanpa menjaringkan gol, dia sekarang ini sudah meledak enam gol dalam empat perlawanan terakhir.
“Kita tahu berapa banyak gol yang disumbangkan Luis dan Leo secara bersama. Kami mahu Luis mengekalkan rentak ini dan dalam masa sama mengharapkan Leo kembali dengan segera.
“Kami sedar mereka akan sama-sama menjaringkan gol sebanyak mungkin,” kata pemain tengah Barca, Ivan Rakitic. – AFP











