SEPANG – Kehadiran penonton yang melepasi sasaran awal pada hari perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia semalam, meyakinkan pihak promoter sukan permotoran negara, Sepang International Circuit Sdn. Bhd. (SIC)untuk mengekalkannya pada edisi yang akan datang.
“Saya memang tidak sangka lebih daripada 100,000 penonton datang pada hari perlumbaan.
“Ini menunjukkan kita mendapat sokongan padu rakyat Malaysia dan juga pelancong luar negara, khususnya peminat sukan permotoran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali ketika ditemui pemberita di Litar Sepang semalam.
Menurut statistik kehadiran penonton pada hari perlumbaan semalam sahaja mencecah 103,984 penonton, sementara pada sesi latihan bebas dan sesi kelayakan pada Jumaat dan Sabtu,
masing-masing mencatat 24,476 dan 41,367 orang.
Kehadiran penonton pada hari perlumbaan (Ahad) itu mengatasi rekod penganjuran sebelum ini iaitu 97,457 orang pada tahun lepas dan 95,316 orang pada tahun 2016. – Bernama











