[VIDEO] Daftar harta intelek jamin pendapatan berterusan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Daftar harta intelek jamin pendapatan berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kesedaran masyarakat di negara ini untuk mendaftar harta intelek masih lagi berada di paras yang rendah walaupun pada hakikatnya, ia mampu menjamin pendapatan yang berterusan.

Ditambah pula dunia sedang menuju ke arah Revolusi Perindustrian 4.0, masyarakat seharusnya lebih berwaspada untuk  mengekang sebarang pelanggaran harta intelek baik secara konvensional mahu pun cetak rompak digital yang berleluasa.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Amir Hamzah Hashim berkata, kesedaran ini kurang mendapat perhatian kerana majoriti masyarakat sebenarnya tidak memahami maksud harta intelek tersebut serta tidak berminat untuk mengambil tahu tentang kepentingan sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Harta intelek sebenarnya terbahagi kepada beberapa segmen dan antaranya adalah seperti hak cipta, cap dagangan serta paten dan kesemua hasil tersebut datang dalam bentuk idea sebelum dizahirkan menjadi realiti.

“Kalau di negara luar, mereka akan segera mendaftar harta intelek mereka walaupun ketika itu yang ada cuma sekadar lakaran atau idea asas sahaja untuk mengelakkan sebarang bentuk kecurian atau plagiat,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Amir berkata demikian sewaktu ditemui sekumpulan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Sehari Bersama Wartawan.

Ujar Amir lagi, dari sudut bidang animasi, perkara ini diuar-uarkan kerana Animas tidak mahu ada individu lain yang menerima nasib serupa seperti kartunis terkenal, Ibrahim Anon atau lebih dikenali sebagai Ujang yang berhadapan dengan masalah harta intelek.

“Orang ramai sepatutnya beruntung kerana di Malaysia ada agensi seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang sering memberi informasi dan menekan tentang kepentingan umum untuk mendaftar harta intelek.

“Dengan adanya pendaftaran hak intelek ini, ia ibarat geran yang boleh diurus niagakan sama ada dalam bentuk perlesenan hak cipta, disewa atau dipindah milik dan ia mampu memberikan keuntungan yang sangat besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN