KUANTAN 4 Nov. – Keluarga tiga remaja yang maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung di Jalan Semambu di sini reda dengan pemergian anak mereka.
Bagaimanapun, Zainuddin Wahab, 52, bapa kepada Mohd. Rizal, 20, yang maut dalam kejadian itu tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

di Jalan Semambu, Kuantan, Pahang, semalam. – IHSAN BOMBA
“Semalam Rizal memaklumkan kepada isteri saya, Rahana Harun, 50, dia hendak ke Kuantan bersama kawannya. Saya tidak pasti dia keluar pukul berapa dan dengan siapa.
“Kira-kira pukul 7 pagi tadi, kawan dia telefon maklumkan Rizal terbabit dalam kemalangan dan saya masa itu sedang bertugas tidak tahu keadaan anak saya macam mana hinggalah bila saya dalam perjalanan ke HTAA baharu saya tahu dia sudah tiada,” katanya yang tinggal di Kemaman, Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Mohd. Rizal; Akira Alinnatasya Mohd. Jaafar, 16, dan Nur Alya Ariana Azman, 16, yang merupakan penumpang belakang Perodua Myvi tersebut maut di tempat kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, pemandu Perodua Myvi, Muhammad Firdaus Mohd., 22, patah tangan kanan dan luka di perut manakala seorang lagi penumpang hadapan, Muhammad Arhas Firdaus Simee, 16, parah pada bahagian kepala, patah tangan serta paha sebelah kanan.
Sementara itu, ibu kepada Akira Alinnatasya, Norizeh Ibrahim, 48, memberitahu, dia terkejut mendapat berita tentang pemergian anaknya memandangkan anak ketiga daripada empat beradik itu tinggal bersama kakaknya di Kemaman.
“Akira Alinnatasya sangat manja dengan saya, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pramugari dan berusaha untuk mengumpul duit dengan bekerja di salon.
“Sejak beberapa bulan lalu, dia sering memberitahu jika sesuatu terjadi kepadanya dia mahu disemadikan dekat dengan kubur datuknya di Felda Jerangau, namun saya tidak menyangka itu petanda anak saya akan pergi untuk selama-lamanya,” ujarnya.
habis///











