JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia semalam memanjangkan tempoh operasi selama tiga hari bagi mencari mangsa dan kotak hitam daripada bangkai pesawat penumpang yang terhempas minggu lalu menyebabkan semua 189 orang yang menaiki penerbangan itu terkorban.
“Kami memutuskan untuk menyambung operasi selama tiga hari bermula hari ini,” kata Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Muhammad Syaugi pada sidang akhbar.
Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan pemantauan di lokasi nahas, katanya kepada pemberita dan mengakui masih banyak mayat mangsa tidak dapat ditemui.
Sehingga semalam, semua 105 beg mayat dengan sejumlah daripadanya mengandungi mayat sempurna ditemui dan diserahkan kepada polis untuk pengesahan forensik. Setakat ini, hanya tujuh mangsa telah dikenal pasti.
“Saya pasti, jumlah berkenaan akan meningkat,” kata Syaugi.
Keutamaan kini adalah mencari mayat mangsa dan perakam suara kokpit (CVR) dan kotak hitam kedua daripada bangkai pesawat jenis Boeing 737 MAX yang terhempas ke dalam laut awal pagi Isnin lalu selepas 13 minit berlepas dari Jakarta.
Penyelam sedang memperincikan isyarat ping dalam pencarian kotak kedua dan penyiasat cuba mendapatkan data daripada sebahagian perakam data yang ditemui pada Khamis lalu.
“Isyarat yang diterima daripada penentu kedudukan ping telah diikuti penyelam yang dipercayai, namun mereka masih belum lagi menemui apa-apa,” kata Syaugi. – Reuters











