KOTA BHARU 4 Nov. – Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menghadapi bencana khususnya banjir amat perlu kerana bilangan pegawai dan kakitangan agensi kerajaan yang terhad.
Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA, Hussain Moh berkata, setakat ini lebih 150 NGO di seluruh negara sudah berdaftar dengan NADMA dan bersedia untuk digerakkan bila-bila masa.
Beliau berkata, penyelarasan NGO itu penting supaya gerak kerja dan bantuan disampaikan tidak tertumpu di sesuatu tempat sahaja seperti pengalaman semasa banjir besar 2014 apabila bantuan dilonggokkan sehingga berlaku pembaziran.
“Kita akan menempatkan pegawai di Pusat Kawalan Operasi Bencana peringkat negeri dan daerah yang akan menyelaraskan pergerakan NGO mengikut kemahiran dan keperluan.
“Kebanyakan NGO yang ada sebenarnya sudah banyak pengalaman malah memberi khidmat sehingga ke luar negara, cuma yang kita bimbang adalah NGO baharu yang mungkin belum biasa cara kerja semasa bencana,” katanya selepas Bengkel Kesiapsiagaan dan Penyelarasan Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2018 di Dewan Murni, Pusat Rancangan Kokurikulum, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam.
Program anjuran Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) itu dirasmikan Setiausaha Politik Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Romli Ishak.
Kira-kira 200 peserta mewakili 40 NGO di negeri ini hadir dalam program yang bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara NGO, sukarelawan dan agensi kerajaan semasa bencana.
Sementara itu, Hussain berkata, pihaknya membahagikan NGO yang berdaftar dengan NADMA kepada tujuh kluster iaitu kesihatan, komunikasi, keperluan asas makanan, logistik, pendidikan, infrastruktur dan sukarelawan pasca untuk memudahkan penyelarasan tugas masing-masing.
“Pada masa ini kita tumpukan gerak kerja turun kepada komuniti untuk memberi kesedaran agar bersiap sedia dari awal ketika banjir berlaku,” katanya.











